Wednesday, June 24, 2009


ARKIB : 02/04/2009

Perkhidmatan tren komuter semakin teruk

SEJAK kebelakangan ini, perkhidmatan tren komuter semakin bermasalah kerana sering rosak dan lewat.

Boleh dikatakan hampir setiap hari penumpang terpaksa berebut-rebut untuk menaiki tren semasa pergi dan pulang dari kerja. Setiap pagi, beratus-ratus penumpang terkandas kerana tidak dapat memasuki tren untuk ke tempat kerja.

Saya sendiri terpaksa berhadapan dengan majikan bagi memberi jawapan yang munasabah kerana sering terlambat sampai ke pejabat.

Semasa hendak pulang dari tempat kerja juga merupakan satu lagi masalah.

Akibat tren komuter sering lewat, saya sering kali terpaksa menunggu sehingga dua hingga tiga jam kerana tren terlalu sesak dan tidak dapat memasukinya. Saya hanya dapat naik tren yang ke-6 atau ke-7.

Pada kami, dapat bolos ke dalam tren sudah seribu rahmat, itu pun kalau ada kemahiran untuk menolak dengan kuat.

Untuk berangan dapat duduk dengan selesa jauh sekali. Sampai bilakah masalah ini akan membelenggu kami sebagai penumpang setia komuter (kerana sudah tidak ada pilihan lain) ini akan berlarutan?

Masalah yang ketara menimpa penumpang yang menaiki tren dari stesen Bank Negara dan Putra untuk perjalanan ke Rawang.

Kini, hampir empat tahun saya menaiki komuter namun masalah ini tidak pernah selesai. Lebih memburukkan keadaan apabila penduduk tempatan terpaksa bersaing dan berebut pula dengan pendatang asing di stesen-stesen tertentu terutama sekali di stesen Segambut.

PENUMPANG SETIA KOMUTER

Kuala Lumpur

No comments:

Post a Comment